mct7Y-n1tpPGqpa7Shoetc-t4AE Taubat nasuha Muslim bertatu tetap diterima | Islam Itu Simple Blogger Widgets

Sahabat Eida

Jumaat, 13 Julai 2012

Taubat nasuha Muslim bertatu tetap diterima

Nukilan Unknown Pada 1:41 PTG
Assalamualaikum!

SAYA insan yang sudah banyak melakukan dosa. Saya mahu memulakan kehidupan baru dan kembali bersolat tetapi badan saya banyak tatu. Untuk menghilangkannya sesuatu yang sukar. Persoalannya, apakah Allah menerima taubat keterlanjuran saya? Adakah solat saya diterima sedangkan tatu penuh di badan? Apa lagi yang harus saya lakukan?

HAMBA YANG INSAF,
Kuala Lumpur.




Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa ayat 48 yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan Dia mengampuni segala dosa selain dari syirik itu bagi sesiapa yang Dia kehendaki-Nya. Sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya dia sudah berbuat dosa yang besar.

Al-Quran juga menegaskan dalam surah az-Zumar ayat 53 yang bermaksud: Katakanlah, wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah engkau berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dia yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. 


Justeru, taubat masih terbuka buat saudara. Memang Islam melarang tatu, bahkan mengutuk perbuatan ini dengan kutukan yang sangat besar, apatah lagi pada masa Nabi Muhammad SAW, tatu yang menghiasi badan mereka (iaitu orang musyrik) seperti gambar yang mengandungi lambang mempersekutukan Allah. 

Insya-Allah, taubat saudara diterima Allah SWT selama saudara menyesali perbuatan terkutuk itu dan bertekad untuk tidak mengulanginya lagi, sambil memohon ampun kepada-Nya.

Seterusnya, tatu memenuhi badan saudara hendak dihilangkan. Tetapi jika usaha menghilangkan mengakibatkan kecacatan, maka usaha itu tidak perlu di lakukan. Kepada saudara yang bertanya, sebenarnya sekian banyak hadis melarang perbuatan tatu pada kulit. Antaranya sabda Nabi SAW yang bermaksud: Allah mengutuk orang yang di tatu dan orang yang mentatu (melakukan tatu).

Banyak ulama yang memberi pandangan kutukan ini. Antaranya Imam al-Qurtubi. Beliau mentafsirkan surah an-Nisa ayat 119 dengan menyatakan bahawa larangan ini berlaku bagi orang yang melakukan hal berkenaan secara kekal (tidak dapat dihilangkan) kerana yang demikian menurutnya adalah perubahan pada ciptaan Allah SWT padahal Dia melarang daripada mengubah ciptaan-Nya.

Ayat itu yang bermaksud: (Syaitan berkata) Demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang itu dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain daripada Allah, maka sesungguhnya rugilah dia dengan kerugian yang terang nyata.
Sementara Sayyid Muhammad Rasyid Redha (wafat 1935) menulis dalam tafsirnya (Tafsir al-Manar) berkaitan ayat di atas, Larangan yang begitu keras ini disebabkan mereka melampaui batas dalam melakukan hal itu hingga mencapai peringkat pengubahan yang buruk (terhadap ciptaan Allah) dan menjadikan seluruh badan, apatah lagi yang jelas pada muka dan tangan berwarna biru kerana tatu yang buruk itu. Tambahan pula dengan banyaknya tatu yang menggambarkan sembahan mereka dan sebagainya seperti yang dilakukan orang Nasrani dengan menggambarkan salib di tangan dan di dada mereka.

Perbuatan mencacah sama ada yang sementara atau kekal hendaklah dijauhi. Namun, agama Islam tidak membebani seseorang melebihi kemampuannya sehingga sekiranya bekas tatu itu sudah diusahakan untuk membuangnya tetapi tidak boleh, Insya-Allah, Allah akan mengampuninya selama orang yang melakukannya menyedari akan kesalahan dan bertekad untuk tidak mengulanginya. Solatnya juga Insya-Allah akan diterima.

Wallahualam.

Sumber : Bharian.com.my

0 Komen Di Sini:

 

Islam Itu Simple Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea