Assalamualaikum!
Hari ini Kalam Abu Musaddad ingin berkongsi dengan pembaca budiman
berkaitan dengan adab-adab ketika berbuka puasa menurut sunnah. Di mana
Rasulullah SAW telah mengajar umatnya beberapa adab yang perlu diberi
perhatian ketika berbuka puasa. Antara adab-adab itu ialah:
1. Membaca doa
Ibn ‘Umar r.a berkata: “Apabila berbuka puasa, Nabi SAW akan membaca :
Hilanglah segala kehausan, segala urat-urat telah basah dan semoga
tetaplah beroleh pahala.
ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتْ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
(Dzahabaz zhoma u wabtallatil ‘uruuqu wa thabatal ajru insyaallah) – Hadis riwayat Abu Dawud
Abdullah Ibn ‘Umar r.a berkata: “Apabila berbuka puasa bacalah: Ya
Allah! sesungguhnya aku memohon rahmat-Mu yang meliputi segala sesuatu
agar Engkau mengampunkan aku.
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِي
(Allahumma inni as aluka birahmatikal lati wasi’ta kulla syai in an taghfirali)” – Hadis riwayat Ibn Majah
Di samping doa-doa di atas, kita juga boleh berdoa apa sahaja yang
dihajati kerana di antara waktu yang mustajab (makbul) untuk berdoa
adalah ketika berbuka puasa. Sabda Rasulullah SAW :
“Sesungguhnya doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa itu ialah ketika dia berbuka.” – Hadis riwayat Ibn Majah
2. Menyegerakan Berbuka Puasa.
Disunnahkan juga kita menyegerakan berbuka puasa. Waktu paling afdal
ialah ketika matahari mula terbenam atau dilaungkan azan Maghrib.
Utamakan berbuka dari sibuk berzikir, membaca al-Quran atau ibadah lain
kerana perintah Nabi s.a.w. Rasulullah SAW bersabda:
“Manusia akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka sentiasa menyegerakan berbuka puasa.” – Hadis riwayat al-Bukhari
Di dalam sebuah hadis qudsi, Allah SWT telah berfirman maksudnya :
“Sebaik-baik hamba-ku menurut pandangan-Ku ialah orang yang menyegerakan berbuka puasa.” – Hadis riwayat al-Tirmizi
3. Berbuka Puasa Dengan Buah Rutab, Tamar Atau Air.
Rutab adalah buah kurma yang masak dan tidak dikeringkan. Ia lembut
dan manis. Tamar pula adalah buah kurma yang telah dikeringkan
sebagaimana yang banyak terjual di pasaran. Berbuka puasa dengan buah
rutab, tamar atau air merupakan sunnah Nabi SAW Anas bin Malik r.a
berkata:
“Rasulullah s.a.w berbuka puasa sebelum solat (Maghrib) dengan rutab.
Jika tiada rutab, baginda akan berbuka dengan tamar dan jika tiada
tamar, baginda akan meneguk beberapa teguk air.” – Hadis riwayat Imam
al-Tirmizi
4. Bersegera Mengerjakan Solat Maghrib.
Hadis di atas tidak menafikan bahawa Rasulullah s.a.w juga
menyegerakan solat Maghrib setelah berbuka puasa dengan rutab, tamar
atau air. Namun, sekiranya makanan malam telah terhidang disunnahkan
menjamah makan malam terlebih dahulu walaupun solat telah didirikan.
Setelah selesai menikmati hidangan, bersegeralah mengerjakan
solatMaghrib. Sabda Rasulullah SAW :
“Apabila seseorang dihidangkan makan malam sedangkan solat (jemaah)
telah didirikan, utamakan makan malam. Janganlah seseorang itu
tergopoh-gapah menghabiskan makanan itu sehinggalah dia selesai dalam
keadaan tenang.” – Hadis riwayat al-Bukhari
Menurut Imam al-Nawawi : “Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan
solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh
mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.”
5. Berbuka Puasa Secara Sederhana.
Firman Allah SWT :
“Wahai Bani Adam! Pakailah pakaian kamu yang indahsetiap kali kamu
ingin ke tempat ibadat (mengerjakan solat) dan makan minumlah serta
janganlah kamu melampau. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang
melampaui batas.” – Surah al-A’raaf : Ayat 31
Perlu diingatkan bahawa janganlah waktu berbuka puasa dijadikan medan
untuk kita melepas geram kerana sehari suntuk tidak menjamah makanan
atau minuman. Sewajarnya, ibadah puasa dijadikan medan untuk melatih
jiwa seorang muslim yang bertakwa lagi penyabar direalisasikan ketika
berbuka puasa dengan memakan makanan pada kadar yang tidak berlebihan.
Sabda Nabi SAW :
“Anak adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada
perutnya. Cukuplah bagi anak adam itu beberapa suap yang dapat
meluruskan tulang belakangnya (memberi kekuatan kepadanya). Sekiranya
tidak mustahail (boleh dilakukan), suaplah satu pertiga untuk makanan,
satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.” – Hadis
riwayat al-Tirmizi
6. Menjamu Makanan Untuk Berbuka Bagi Orang Berpuasa.
Sesungguhnya Islam menganjurkan umatnya mengadakan majlis berbuka
puasa untuk menjamu makan bagi mereka yang berpuasa terutamanya kepada
orang-orang miskin, anak-anak yatim dan mereka yang ditimpa musibah.
Firman Allah SWT :
“Mereka juga memberi makan sebarang makanan yang dihajati dan
disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan tawanan (sambil berkata
dengan lidah atau hati): Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu
semata-mata kerana Allah dan kami langsung tidak inginkan sebarang
balasan daripada kamu atau ucapan terima kasih.” – Surah al-Insan: 8-9.
Menjamu makan untuk berbuka puasa telah dijanjikan dengan ganjaran
pahala yang begitu besar. Semakin ramai jumlah orang yang dijamu makan,
semakin tinggilah jumlah gandaan pahalanya. Sabda baginda SAW :
“Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa,
pahalanya sama seperti pahala orang yang berpuasa, iaitu pahala orang
yang berpuasa yang tidak dikurangkan walau sedikit.”
– Hadis riwayat
al-Tirmizi.
Wallahu’alam….
SUMBER