mct7Y-n1tpPGqpa7Shoetc-t4AE 07/21/12 | Islam Itu Simple Blogger Widgets

Sahabat Eida

Sabtu, 21 Julai 2012

Miskin hati, iman lebih parah daripada tiada harta

Nukilan Unknown Pada 10:40 PG 0 Komen Di Sini
Assalamualaikum!

ILMU dapat mengubah hidup masyarakat miskin.

MANUSIA mempunyai dua tugas utama sebagai hamba dan khalifah Allah SWT. Bagaimanapun, Allah SWT dengan kasih sayangnya tidak membiarkan hamba-Nya yang beriman dalam keadaan terbeban dengan cara mengurniakan panduan penting iaitu al-Quran dan al-Sunnah.

Manusia harus ada Allah SWT dan Rasul dalam hatinya yang menjadi kekuatan dalam kehidupan. Adanya Allah dan Rasul, maka tidak akan ada lagi kebejatan sosial, kepincangan politik dan kemelesetan ekonomi.

Sh
Islam menekankan kejayaan dunia hingga akhirat dan kerana itu Islam menyediakan panduan berkaitan setiap aspek urusan supaya umat dapat menggunakannya sebaik mungkin termasuklah dalam soal mengurus kemiskinan.

Kemiskinan sering dilihat sebagai keadaan yang menyusahkan, tetapi sebenarnya tidak. Kemiskinan mampu memberikan pulangan positif kepada kesaksamaan dari sudut kestabilan ekonomi.

Bayangkan jika semua kaya, apa akan jadi pada sebuah negara? Sudah tentu berlaku lambakan duit yang menyebabkan inflasi dan nilai wang itu akan menjadi rendah. Inflasi juga menyebabkan barangan asasi menjadi mahal dan boleh terjadi untuk membeli sebuku roti memerlukan segenggam duit kertas.

Bagaimanapun, mustahil sebuah negara itu dihuni oleh semua masyarakatnya yang miskin. Secara logiknya, jika ada orang miskin sudah tentu ada orang kaya. Malaysia mempunyai paras kemiskinan yang tertentu berbanding negara lain.

Gaji minimum ditetapkan di bandar besar seperti Kuala Lumpur ialah RM1,500, dan mereka yang berada di bawah paras itu dianggap miskin. Maka, istilah kemiskinan itu subjektif dan tidak boleh diukur hanya melihat kepada pendapatan saja.

Kemungkinan, gaji bulanan hanya RM1,000, tetapi mereka mempunyai punca pendapatan lain daripada hasil perniagaan sambilan menjadikan hasil pendapatan bulanan mencecah jumlah RM2,500.

Pengamalan ideologi kapitalis, harta cenderung bertumpu kepada golongan yang kaya, manakala orang miskin cenderung menjadi lebih miskin. Maka, kemiskinan tidak dapat dihapuskan.

Bagaimana cara untuk mengurangi kadar kemiskinan? Ada pandangan mengatakan kemiskinan bukanlah suatu masalah perlu ditangani dengan memberikan wang ringgit sebagai keperluan peribadi semata-mata, tetapi ia berhubung kait dengan isu (qalbi) atau hati.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan itu, mereka menjadi orang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar. (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada mereka.” (Surah al-Hajj, ayat 46).
Kemiskinan bukanlah penghalang utama kepada kemajuan negara, tetapi kemiskinan perlu diolah mengikut situasi semasa. Kadang-kadang kemiskinan mampu memberi ketenangan berbanding hidup dalam kekayaan.

Kemunduran sesebuah negara berlaku apabila adanya masyarakat yang bukan saja miskin dari segi harta, bahkan miskin dari segi hati dan keimanan. Inilah yang dinamakan miskin, miskin dan miskin. Namun, tidak dinafikan kemiskinan boleh melambatkan kemajuan negara.

Apabila malas telah menguasai diri, ia akan merebak kepada sifat mazmumah yang lain. Malas boleh menjadi punca kepada jenayah lebih besar seperti dadah, judi dan lain-lain. Malas juga boleh menyebabkan keruntuhan rumah tangga kerana apabila malas bekerja sudah tentu tiada wang.

Kemiskinan selalunya berpunca daripada kemiskinan ilmu pengetahuan. Ketiadaan ilmu, masyarakat mudah tertipu dengan pelbagai skim cepat kaya menyebabkan mereka jatuh bankrap. Ketiadaan ilmu juga boleh menyebabkan masyarakat terpinggir daripada arus kemodenan seterusnya menjadi penat dalam mengejar kemajuan.

Sebenarnya bukan semua orang bernasib baik menjadi kaya dengan hanya berniaga. Ramai juga yang kecundang. Walaupun begitu, dengan adanya ilmu kita tidak akan mudah jatuh miskin.

Saidina Ali berkata: “Sekiranya kita ada ilmu, ilmu akan menjaga kita, tetapi sekiranya kita ada banyak harta, kita yang akan menjaga harta.”

Namun, untuk memastikan ilmu itu tidak menjadi sia-sia semestinya kemajuan negara haruslah dibina ke arah kebaikan bukan dibina ke arah kemungkaran. Itulah jalan yang mampu menyelesaikan masalah miskin, miskin dan miskin.

Berdasarkan zaman pemerintahan Umar Abdul Aziz, tidak ada orang yang ingin menerima zakat. Hal itu bukan kerana kemiskinan sudah tidak wujud, tetapi disebabkan rasa malu untuk menerima zakat. Ia lahir daripada hati yang bersifat qanaah iaitu berasakan cukup.

Kemiskinan bukan hanya disebabkan kekurangan harta semata-mata, tetapi sebenarnya disebabkan kemiskinan iman dan takwa kepada Allah SWT. Apabila jiwa kaya automatik harta akan meningkat disebabkan iman dan takwa mampu meningkatkan kesungguhan untuk bekerja.

 Wallahu’alam….

Hati lebih tenang jika berjaya tahan marah, pemaaf

Nukilan Unknown Pada 10:34 PG 0 Komen Di Sini
Assalamualaikum!

Nabi Muhammad bersabda: “Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.”

(Hadis riwayat Bukhari).

Pentingnya sifat menahan marah mendorong Nabi Muhammad SAW apabila diminta oleh seorang lelaki supaya berpesan atau mengajarnya mengenai sesuatu perkara, menjawab ringkas iaitu ‘jangan marah’.

Lelaki itu seperti tidak berpuas hati dengan jawapan diberi. Dia mungkin merasakan apalah besar sangat kebaikan menahan marah. Lalu dia bertanya kali kedua mengharapkan Rasulullah SAW memberitahu amalan lain yang lebih besar pahalanya.

Tetapi Rasulullah tetap mengulangi perkataan ‘jangan marah’. Untuk mendidik sifat baik dalam diri perlulah menghampiri diri dengan memperbanyakkan melakukan ibadat wajib dan sunat. Kekuatan takwa dan iman secara langsung akan menjauhkan perkara yang ditegah, termasuk sifat pemarah.

Sifat pemaaf lahir dari jiwa dan hati yang tenang hasil tarbiah berterusan. Sebab itu, selalulah memupuk sifat pemaaf bermula dengan perkara yang kecil dan mudah hilang sifat marah. Jika ada sesuatu menimbulkan marah, berfikirlah sejenak untuk menilai atau muhasabah diri.

Renungkan dalam hati adakah perkara itu juga berpunca dari kita sendiri? Adakah sebelum ini kita mengambil langkah yang wajar untuk mengelak perkara itu berlaku? Jika kita mampu berfikir sedemikian, cahaya kebenaran mudah memasuki ruang hati dan memberi petunjuk tindakan wajar dilakukan seterusnya.

Pada ketika itu syaitan tidak berpeluang menyemarakkan perasaan marah, yang lahir adalah keinsafan dan sifat memaafkan. Sifat pemaaf memberi manfaat besar kepada diri sendiri terutama dari segi rohani.

Orang yang bersifat pemaaf selalu dalam keadaan tenang, hati bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri untuk melakukan kebaikan. Bagi yang bersifat pemaaf, padanya tiada dalam hatinya tersimpan perasaan marah.

Sebab itu, hati orang bersifat pemaaf tidak mudah terbakar dengan provokasi yang menekan dirinya.

Banyak masalah berkaitan hubungan sesama manusia berpunca sifat marah dan membalas dendam.

Biarpun perselisihan kecil, perkara itu tidak dapat diselesaikan disebabkan perasaan dendam masih bertapak di hati. Sikap berdendam hanya merugikan kedua-dua pihak. Jika sifat memaafkan diamalkan, insya- Allah, kita juga tidak akan menanggung kemarahan daripada orang lain.

Sebaiknya sebelum tidur perkara yang selalu dipesankan orang alim supaya kita memaafkan kesalahan semua orang dengan harapan dan doa, orang lain juga terbuka hati untuk memaafkan kesalahan kita.

Sesungguhnya kesalahan dengan Allah lebih mudah untuk memohon keampunan kerana sifat Allah Maha Pengampun, tetapi kesalahan sesama manusia susah. Jika semua orang bersifat pemaaf alangkah bahagia dan amannya dunia ini.

 Wallahu’alam….

SUMBER

Balasan Meninggalkan Solat Jumaat

Nukilan Unknown Pada 10:24 PG 0 Komen Di Sini
Assalamualaikum!


Dari Abdullah bin Umar dan Abu Hurairah r.a keduanya menceritakan bahawa mereka mendengar daripada Rasulullah s.a.w ketika baginda sedang berkhutbah di atas mimbar, sabdanya:

    “Hendaklah orang-orang yang suka meninggalkan Jumaat menghentikan perbuatan mereka itu, atau adakah mereka mahu Allah membutakan hati mereka dan sesudah itu mereka betul-betul menjadi orang yang lalai?” – (H.R Muslim)

Huraian :

Meninggalkan solat Jumaat merupakan perbuatan yang ditegah kerana solat jumaat hukumnya adalah fardhu ain ke atas setiap individu muslim. Orang yang meringan-ringankan hukum Allah ini akan mengundang kemurkaan-Nya dan mereka bakal menerima balasan yang setimpal dengan dosa yang dilakukan.

Bahkan orang yang enggan mentaati suruhan Allah pintu hatinya lama-kelamaan akan tertutup daripada mendapat hidayah menjadikan mereka semakin sesat dan tanpa segan terus melakukan dosa-dosa yang lain.

Sesungguhnya orang yang dibenarkan meninggalkan solat Jumaat hanyalah mereka yang menghadapi kesukaran yang mencapai darjah keuzuran syar’i sepertimana yang berlaku kepada orang sakit dan orang musafir.

Oleh itu sekiranya seseorang itu tiada sebarang alasan yang munasabah di sisi syarak untuk meninggalkan solat Jumaat, maka hendaklah mereka mengerjakannya kerana solat Jumaat selain dariapada suatu kewajiban dalam beribadat kepada Allah S.W.T ia juga merupakan suatu syiar Islam yang wajib dipelihara demi menjaga kesucian agama.

 Wallahu’alam….

SUMBER
 

Islam Itu Simple Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea