Baju raya, kasut raya, kuih raya, duit raya, langsir raya dan 1001 lagi ‘benda’ raya seakan mesti ada tatkala menyambut hari raya. Dalam bersungguh-sungguh menyediakan barangan bertema raya ini, pernahkah anda terfikir kenapa kita perlu sediakan semua itu? Adakah ini tuntutan agama atau sekadar mengikut tradisi? Perlukah budaya ini kita wariskan?  

Bapa borek anak rintik. Pepatah ini perlu sentiasa tersemat dalam diri semua ibu bapa kerana mereka adalah contoh bagi anak-anak. Apa yang dilakukan akan menjadi ikutan. Selain daripada tingkah laku seharian, amalan atau cara ibu bapa meraikan sesuatu pun akan anak ikut. Oleh yang demikian, berhati-hatilah dengan setiap perbuatan anda. Ingin anak beriman, anda terlebih dahulu perlu beriman. Untuk keluaran kali ini penekanan diberikan dalam cara kita meraikan Hari Raya Aidilfitri. Akibat terlalu seronok dan teruja untuk meraikan kemenangan melawan hawa nafsu sepanjang Ramadhan, ramai ibu bapa terlupa meraikan dengan cara yang disarankan agama Islam.

Untuk itu penting bagi kita mengingati semula kenapa Hari Raya Puasa disambut? Allah SWT telah mensyariatkan hari raya disambut untuk meraikan kejayaan umat Islam beribadat dengan penuh kesungguhan sepanjang bulan Ramadhan. Sambutlah hari yang penuh kegembiraan itu dengan rasa syukur atas segala nikmat dan kemudahan  yang Allah SWT telah kurniakan semasa kita berpuasa.

Sambutan Hari Raya bermula sejak berakhirnya petang Ramadhan iaitu malam menjelang Hari Raya  sehinggalah selesai khutbah hari raya pada 1 Syawal dengan bertakbir, bertahmid dan bertasbih sebanyak yang boleh. Pada malam Hari Raya, kita disunatkan memuji kebesaran Allah SWT dengan melaungkan kalimah-kalimah takbir, membaca Al-Quran, berdoa dan berzikir. Ajaklah anak-anak sama-sama bertakbir. Bukan meraikannya dengan dendangan lagu-lagu raya pelbagai versi.

Pada pagi hari raya pula, ajar anak mandi sunat Aidilfitri sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas dan Al-Fakih bin Sa’d r.a bahawa Rasulullah SAW melakukan mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adha (Ibnu Majah). Selesai mandi, pakailah pakaian yang elok tetapi tidak semestinya yang baru. Sebelum anda mengajak anak ke masjid untuk menunaikan solat Aidilfitri, disunatkan makan terlebih dahulu sebagai tanda tidak berpuasa pada hari tersebut seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Jangan lupa untuk mengucapkan tahniah kepada ahli keluarga, saudara-mara, sahabat handai dan jiran tetangga atas kejayaan melalui Ramadhan dengan penuh ketakwaan. Dan berdoalah agar amalan dan kebajikan sepanjang bulan mulia itu diterima Allah SWT. Disunatkan juga agar anda memilih jalan yang berbeza untuk pergi dan balik ketika menunaikan sembahyang raya.

Satu amalan yang baik dapat perlu diteruskan oleh umat Islam ialah saling ziarah-menziarahi antara satu sama lain. Beritahu anak mengapa perlu pulang ke kampung atau bertandang ke rumah saudara mara setiap kali tiba Syawal. Pun begitu, amalan ini perlulah mengikut ajaran Islam. Pergaulan antara lelaki dan perempuan perlu ada batasnya. Waktu solat jangan sesekali dibiarkan berlalu begitu sahaja semata-mata kerana sibuk bertandang ke rumah saudara-mara atau ke rumah terbuka.

Kepada anda yang ingin mengadakan rumah terbuka, dinasihatkan agar janganlah berlebih-lebihan. Segala-galanya perlulah sederhana. Makanan, hiasan rumah, malah pergaulan perlu dikawal agar tidak melangkau batasan yang telah ditetapkan agama. Jangan nanti dek kerana terlalu gembira meraikan Syawal, pahala Ramadhan hilang begitu sahaja. Amalan buruk menyambut raya tidak perlu dipertontonkan dan diwariskan kepada anak-anak. Ayuh, kita ajak keluarga raikan Aidilfitri tahun ini dengan cara Islam. Insya-Allah.