Gay dan lesbian adalah salah satu corak kehidupan Barat. Banyak gereja di Barat merestui perkahwinan sejenis dan melantik gay dan lesbian menjadi bishop serta paderi antaranya; Gereja Evangelical Lutheran di Kanada dan Denmark, Gereja Norway, Gereja Finland dan Gereja Sweden.
Ulama sepatutnya lebih tekun menyebarkan agama dan memantapkan kerohanian supaya tingkah laku orang Islam serta keperibadian mereka tidak bertentangan dengan ajaran Islam
Masyarakat sekular di Barat mudah terdedah kepada corak kehidupan gay, lesbian dan homoseksual akibat kehausan kerohanian yang tidak disulami nilai agama.
Corak kehidupan individualistik dan materialistik yang melanda barat menghasilkan sosiobudaya serta masyarakat yang lebih mengutamakan bisikan hati, hawa nafsu daripada akal atau intelek dalam mengendalikan urusan peribadi.
Ciri begini telah menular dalam negara. Terdapat umat Islam mempunyai kecenderungan membentuk budaya gay, lesbian dan homoseksual. Perkara begini sepatutnya menjadi perhatian ulama dan pemimpin Islam.
Tindakan undang-undang tanpa disulami kegiatan yang boleh menyemarakkan kerohanian keagamaan tidak mungkin mampu menyekat penularan budaya di luar tabii manusia daripada melanda umat Islam negara ini.
Apabila umat Islam mempunyai kecenderungan memilih corak hidup bertentangan fitrah manusia, maka pemimpin dan ulama Islam perlu bermuhasabah serta melihat kepada akar permasalahan mendorong umat Islam memilih corak kehidupan sedemikian.
Ulama sepatutnya lebih tekun menyebarkan agama dan memantapkan kerohanian supaya tingkah laku orang Islam serta keperibadian mereka tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
Program agama sepatutnya lebih tertumpu kepada aspek pendidikan kerohanian secara praktikal bukan dalam bentuk celoteh dan perbahasan. Isi kandungan pula dapat memberi kesan kepada jiwa pendengar dan menyedarkan mereka hakikat kehidupan berteraskan syariah Islam.
Kurang berdamping dengan remaja juga antara faktor utama menyebabkan remaja Islam ketandusan kerohanian. Remaja Islam masa kini didedahkan pelbagai unsur negatif melalui media massa. Teknologi komunikasi memudahkan kumpulan gay, lesbian dan homoseksual menyebarkan ideologi dan budaya mereka kepada masyarakat seluruh dunia.
Remaja yang terpinggir daripada didikan dan latihan kerohanian mudah dipengaruhi budaya gay, lesbian dan sebagainya.
Sikap dan mentaliti gemar menghukum serta menghina sepatutnya dihapuskan dalam pemikiran pendakwah kerana sikap begini menyukarkan mereka bergaul dengan golongan ketandusan kerohanian yang memerlukan didikan.
Latihan kerohanian seperti melatih remaja mengamalkan ibadah boleh memperkukuhkan kerohanian dan penjelasan mengenai manfaat melaksanakan ibadah diwahyukan Allah perlu disampaikan secara jelas supaya mereka mengetahui bagaimana mengimbangi tuntutan dunia serta akhirat.
Berdasarkan suasana masyarakat Islam mudah terdedah kepada gejala homoseksual dan lesbian, maka umat Islam terutama ibu bapa perlu mendidik anak dengan sifat fitrah ciptaan mereka. Anak lelaki diasuh dan dilatih menghargai diri sebagai lelaki, begitu juga didikan terhadap anak perempuan.
Struktur masyarakat Islam perlu diperkukuhkan dengan kegiatan amar makruf nahi mungkar, iaitu bekerjasama memelihara masyarakat Islam seperti memelihara saudara sendiri. Inilah kunci utama kekuatan umat Islam dalam menghadapi pelbagai rintangan dan pengaruh negatif.
0 Komen Di Sini:
Catat Ulasan