Assalamualaikum!
Baju raya, kasut raya, kuih raya, duit raya, langsir raya dan 1001 lagi
‘benda’ raya seakan mesti ada tatkala menyambut hari raya. Dalam
bersungguh-sungguh menyediakan barangan bertema raya ini, pernahkah anda
terfikir kenapa kita perlu sediakan semua itu? Adakah ini tuntutan
agama atau sekadar mengikut tradisi? Perlukah budaya ini kita
wariskan?
Bapa borek anak rintik. Pepatah ini perlu sentiasa tersemat dalam diri
semua ibu bapa kerana mereka adalah contoh bagi anak-anak. Apa yang
dilakukan akan menjadi ikutan. Selain daripada tingkah laku seharian,
amalan atau cara ibu bapa meraikan sesuatu pun akan anak ikut. Oleh yang
demikian, berhati-hatilah dengan setiap perbuatan anda. Ingin anak
beriman, anda terlebih dahulu perlu beriman. Untuk keluaran kali ini
penekanan diberikan dalam cara kita meraikan Hari Raya Aidilfitri.
Akibat terlalu seronok dan teruja untuk meraikan kemenangan melawan hawa
nafsu sepanjang Ramadhan, ramai ibu bapa terlupa meraikan dengan cara
yang disarankan agama Islam.
Untuk itu penting bagi kita mengingati semula kenapa Hari Raya Puasa
disambut? Allah SWT telah mensyariatkan hari raya disambut untuk
meraikan kejayaan umat Islam beribadat dengan penuh kesungguhan
sepanjang bulan Ramadhan. Sambutlah hari yang penuh kegembiraan itu
dengan rasa syukur atas segala nikmat dan kemudahan yang Allah SWT
telah kurniakan semasa kita berpuasa.
Sambutan Hari Raya bermula sejak berakhirnya petang Ramadhan iaitu
malam menjelang Hari Raya sehinggalah selesai khutbah hari raya pada 1
Syawal dengan bertakbir, bertahmid dan bertasbih sebanyak yang boleh.
Pada malam Hari Raya, kita disunatkan memuji kebesaran Allah SWT dengan
melaungkan kalimah-kalimah takbir, membaca Al-Quran, berdoa dan
berzikir. Ajaklah anak-anak sama-sama bertakbir. Bukan meraikannya
dengan dendangan lagu-lagu raya pelbagai versi.
Pada pagi hari raya pula, ajar anak mandi sunat Aidilfitri sebagaimana
yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas dan Al-Fakih bin Sa’d r.a bahawa
Rasulullah SAW melakukan mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adha
(Ibnu Majah). Selesai mandi, pakailah pakaian yang elok tetapi tidak
semestinya yang baru. Sebelum anda mengajak anak ke masjid untuk
menunaikan solat Aidilfitri, disunatkan makan terlebih dahulu sebagai
tanda tidak berpuasa pada hari tersebut seperti yang dilakukan oleh Nabi
Muhammad SAW. Jangan lupa untuk mengucapkan tahniah kepada ahli
keluarga, saudara-mara, sahabat handai dan jiran tetangga atas kejayaan
melalui Ramadhan dengan penuh ketakwaan. Dan berdoalah agar amalan dan
kebajikan sepanjang bulan mulia itu diterima Allah SWT. Disunatkan juga
agar anda memilih jalan yang berbeza untuk pergi dan balik ketika
menunaikan sembahyang raya.
Satu amalan yang baik dapat perlu diteruskan oleh umat Islam ialah
saling ziarah-menziarahi antara satu sama lain. Beritahu anak mengapa
perlu pulang ke kampung atau bertandang ke rumah saudara mara setiap
kali tiba Syawal. Pun begitu, amalan ini perlulah mengikut ajaran Islam.
Pergaulan antara lelaki dan perempuan perlu ada batasnya. Waktu solat
jangan sesekali dibiarkan berlalu begitu sahaja semata-mata kerana sibuk
bertandang ke rumah saudara-mara atau ke rumah terbuka.
Kepada anda yang ingin mengadakan rumah terbuka, dinasihatkan agar
janganlah berlebih-lebihan. Segala-galanya perlulah sederhana. Makanan,
hiasan rumah, malah pergaulan perlu dikawal agar tidak melangkau batasan
yang telah ditetapkan agama. Jangan nanti dek kerana terlalu gembira
meraikan Syawal, pahala Ramadhan hilang begitu sahaja. Amalan buruk
menyambut raya tidak perlu dipertontonkan dan diwariskan kepada
anak-anak. Ayuh, kita ajak keluarga raikan Aidilfitri tahun ini dengan
cara Islam. Insya-Allah.
Wallahu’alam….
Sumber: Pa&Ma
0 Komen Di Sini:
Catat Ulasan