Ibadat puasa yang kita lakukan tidak sunyi daripada kelemahan dan kekurangan. Pelbagai kemungkinan dapat diandaikan kerana adanya keterlanjuran dan perkara mengurangkan pahala puasa sepanjang Ramadan al-Mubarak.
Maka Islam menganjurkan umatnya menunaikan zakat fitrah bagi menampung kekurangan dan kelemahan ibadat puasa.
Mazhab Imam Syafie berpendapat tempoh masa zakat fitrah diwajibkan ketika bermulanya hari pertama Ramadan sehingga tenggelamnya matahari pada petang akhir Ramadan atau sehingga pagi hari raya iaitu sebelum solat Aidilfitri.
Kongsi kegembiraan
Waktu yang terbaik adalah pada pagi hari raya kerana meraikan tujuan diwajibkan zakat fitrah iaitu berkongsi kegembiraan bersama fakir miskin di mana apabila diberi ketika hampirnya lebaran, maka sampailah matlamat zakat itu sendiri dengan meraikan fakir miskin.
Riwayat sahabat bernama Ibnu Umar, mereka telah melaksanakan zakat fitrah ketika mana hampirnya hari raya sehari atau dua hari. Walau bagaimanapun, pilihan terletak di tangan anda kerana ramai mengejar waktu terbaik akhirnya sehingga selesai solat hari raya.
Sebenarnya, tempoh masa yang panjang ini dapat memberi peluang kepada semua yang berpuasa supaya dapat mengambil peluang menyempurnakan kekurangan yang ada kepada ibadat puasa mereka.
Ibadat puasa tergantung
Riwayat lain menyebut, Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya ibadat puasa akan tergantung antara langit dan bumi sehinggalah zakat fitrah dilaksanakan. Sesungguhnya ia menyempurnakan ibadat puasa disamping membantu fakir miskin.”
Ulama berpendapat amalan yang tergantung bermaksud diterima tetapi tidak sampai ke tahap kesempurnaan yang diakui oleh Allah SWT.
Lebih jelas lagi ialah apa yang disabdakan Baginda SAW: “Sesungguhnya orang yang berpuasa tidak akan terlepas daripada berlakunya pencemaran terhadap puasanya sama ada dengan perkara sia-sia, pertuturan seharian yang terkadang bersalut dusta, pandangan yang menghairahkan atau seumpamanya. Dan Allah menginginkan bahawa ibadat puasa kita sentiasa suci dan bersih seolah-olah kita berada pada suasana kehidupan di syurga. Apabila kamu diejek dan dipermainkan, maka jawablah, saya berpuasa.”
Di sini menunjukkan Islam adalah agama keadilan dan kesaksamaan merealisasikan matlamatnya supaya semua manusia merasakan mereka adalah rumpun bersaudara.
Baginda SAW pernah bermunajat selepas setiap kali solat dengan menyebut: “Wahai Tuhanku yang memilik segala sesuatu, aku bersaksi bahawa Engkau Tuhan yang satu. Tiada sekutu bagimu. Aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan rasul-Mu dan aku bersaksi bahawa semua hamba-Mu adalah bersaudara.”
Mengembang ekonomi
Untuk mengembangkan ekonomi, selain zakat fitrah, Allah SWT juga mewajibkan zakat pendapatan dan zakat harta. Kewajipan zakat adalah rukun Islam ketiga bagi menjamin kesinambungan hubungan antara sesama manusia.
Allah juga mengembangkan sistem sedekah dengan mewajibkan orang yang berzihar, bersumpah atau terlanjur bersetubuh di siang Ramadan memberi makan kepada fakir miskin sebagai denda di atas kelalaian mereka.
Demikianlah Allah SWT menjadikan fakir miskin sebagai medan untuk mereka yang berkemampuan membersihkan ibadat puasa serta kotoran dosa mereka dengan bersedekah.
Wallahu’alam….
SUMBER
0 Komen Di Sini:
Catat Ulasan