Assalamualaikum!
BH - Hamba yang mengabdikan diri kepada Allah SWT sentiasa mengakui bahawa Allah SWT sajalah yang layak disembah dan tempat memohon segala pertolongan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Engkaulah sahaja (ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. - (Surah al-Fatihah ayat 5).
Dalam ayat ini ada dua ungkapan penting. Ungkapan pertama: kepada Engkau kami sembah (iyyaka nabud), manakala ungkapan kedua pula: Kepada Engkau kami mohon pertolongan (iyyaka nastain).
Bebas syirik
Ungkapan pertama menekankan mengenai pembebasan seseorang hamba daripada segala perkara syirik, manakala ungkapan kedua pula menekankan mengenai pembebasan diri daripada pergantungan kepada sesuatu selain Allah SWT.
Menurut al-Raziy dalam al-Tafsir al-Kabir, penggunaan lafaz iyyaka (kepada Engkau sahaja) pada awal kata kerja nabud (kami sembah) dan nastain (kami memohon pertolongan) dalam ayat ini adalah bagi tujuan al-hasr (pembatasan), manakala al-Syawkaniy dalam Fath al-Qadir pula mengatakan ia bertujuan al-ikhtisas (pengkhususan).
Pengabdian kepada Allah
Sebenarnya kedua-dua perkara ini tidak bertentangan, malah ia sama saja iaitu dibatasi bagi tujuan pengkhususan. Oleh itu, jelaslah menyembah dan memohon pertolongan hanya khusus kepada Allah SWT saja. Inilah yang dikatakan pengabdian diri kepada Allah SWT dan setinggi-tinggi kepatuhan, tunduk dan kerendahan diri kepada Allah SWT.
Menurut tafsiran Ibn Abbas r.a, ayat ini bermaksud Allah SWT sajalah yang layak disembah dan ditakuti dan kepada-Nya dipohon segala pertolongan sama ada dalam beribadah, ketaatan mahupun dalam segala perkara yang berkaitan kehidupan.
Dengan pengakuan atau ikrar ini bermakna seseorang hamba Allah SWT itu membebaskan dirinya daripada mengabdikan diri kepada sesama manusia dan tunduk kepada segala perkara khurafat dan tahyul.
Hamba yang berikrar menyembah dan mengabdikan diri kepada Allah SWT saja, akan berikrar juga untuk mempertahankan apa yang diikrarkan itu, iaitu dengan tidak menyembah dan mengabdikan kepada sesuatu selain Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah (Surah al-Kafirun ayat 2).
Diriwayatkan oleh al-Tabraniy dan Ibn Abi Hatim daripada Ibn Abbas r.a. bahawa kaum Quraisy berusaha mempengaruhi Nabi Muhammad SAW dengan menawarkan harta kekayaan agar Baginda menjadi seorang yang paling kaya di Kota Makkah dan Baginda akan dikahwinkan dengan perempuan yang Baginda kehendaki. Mereka menyampaikan semua ini dengan berkata: Inilah yang kami sediakan untukmu wahai Muhammad, tetapi dengan syarat janganlah engkau memaki hamun tuhan kami dan memburukkannya atau sembahlah tuhan-tuhan kami selama setahun. Nabi Muhammad SAW menjawab: Aku akan menunggu wahyu daripada Tuhanku. Penurunan ayat 1-6 daripada Surah al-Kafirun adalah berhubung dengan peristiwa ini dan sebagai perintah untuk menolak kaum kafir tersebut. Kemudian turun pula ayat 64 daripada Surah al-Zumar sebagai perintah untuk menolak ajakan orang-orang bodoh yang menyembah berhala (al-Suyutiy, Lubab al-Nuqul fi Asbab al-Nuzul).
Berdasarkan peristiwa ini, didapati Rasulullah SAW ditawarkan dengan kemewahan hidup dan perempuan cantik sebagai syarat supaya Baginda SAW meninggalkan dakwah Islam dan berkompromi dengan kaum kafir Quraisy.
Cubaan syirikkan Allah
Hal ini sebagai satu cubaan mengajak Rasulullah SAW yang kuat mengabdikan diri kepada Allah SWT supaya mensyirikkan Allah SWT.
Kegagalan ini disebabkan oleh Rasulullah SAW yang berikrar mengabdikan diri kepada Allah SWT itu telah bertindak mempertahankan apa yang diikrarkan. Sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW inilah ciri orang yang benar-benar mengabdikan diri kepada Allah SWT kerana tidak sedikit pun tunduk dan patuh kepada sesuatu selain Allah SWT.
Wallahu’alam….
0 Komen Di Sini:
Catat Ulasan