Assalamualaikum!
KATA Imam al-Ghazali, lidah antara nikmat Allah SWT yang besar dan
antara ciptaan Tuhan yang amat halus dan ganjil. Lidah mempunyai bentuk
yang indah, kecil dan menarik.
Selanjutnya Imam al-Ghazali berkata: “Keimanan dan kekufuran
seseorang tiada terang dan jelas, selain dengan kesaksian lidah. Lidah
mempunyai ketaatan yang besar dan mempunyai dosa besar pula. Anggota
tubuh yang paling derhaka kepada manusia ialah lidah. Sesungguhnya lidah
alat perangkap syaitan yang paling jitu untuk menjerumuskan manusia.”
Daripada kata Imam al-Ghazali itu jelas menunjukkan kepada kita
besarnya peranan lidah dalam kehidupan manusia kerana lidah kita boleh
masuk syurga dan kerana lidah juga boleh dihumban kita ke neraka.
Oleh kerana lidah boleh membawa kebaikan dan keburukan dalam hidup
manusia, kita perlu sentiasa berwaspada menggunakan lidah sewaktu
bertutur kata. Dengan kata lain, kita hendaklah bijak menggunakan lidah
apabila bercakap.
Sekiranya kata yang kita ucapkan boleh menyebabkan orang yang
mendengarnya sakit hati atau terguris, ia boleh mendatangkan keburukan
kepadai kita. Pepatah ada mengatakan kerana mulut badan binasa.
Justeru, sebelum kita berkata sesuatu hendaklah berfikir terlebih
dulu. Kita gunakan lidah untuk berkata sesuatu yang baik dan tidak
sia-sia atau lebih baik lagi kita diam. Itu lebih memberi manfaat
daripada kita berkata perkara yang boleh mendatangkan dosa. Sesungguhnya
orang beriman tidak bercakap perkara yang sia-sia dan tiada berfaedah.
Daripada Abu Hurairah diriwayatkan Nabi Muhammad SAW bersabda yang
maksudnya: “Siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah
ia berkata yang baik atau ia diam.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan
Muslim)
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya Allah benci kepada orang yang jelik budi pekertinya serta
kotor lidahnya.” (Hadis riwayat Imam Tirmidzi)
Menurut Rasulullah SAW ada tiga jenis manusia, iaitu yang mendapat pahala, selamat daripada dosa dan binasa.
Orang yang mendapat pahala sentiasa mengingati Allah, berzikir,
mengerjakan solat dan sebagainya. Orang yang selamat daripada dosa ialah
mereka yang diam, manakala orang yang binasa sentiasa melakukan perkara
mungkar, maksiat dan tidak mengawal lidahnya dengan baik.
Kita dapat mengenal peribadi seseorang daripada percakapannya. Orang
yang tinggi akhlak selalunya bercakap hal yang baik saja, tidak
menyakiti hati orang lain, tidak mengucapkan perkataan kotor dan tidak
banyak bercakap. Mereka mengawal lidah sebaik-baiknya.
Dalam hadis yang diriwayatkan Tirmidzi dan Ibnu Majah, Abu Hurairah
menceritakan apabila Rasulullah SAW ditanya sebab terbesar yang membawa
seseorang masuk syurga, Rasulullah menjawab: “Takwa kepada Allah dan
akhlak yang baik.” Apabila ditanya pula sebab terbesar yang membawa
manusia masuk neraka, maka Rasulullah menjawab, “Dua rongga badan iaitu
mulut dan kemaluan.”
Wallahu’alam….
SUMBER
0 Komen Di Sini:
Catat Ulasan