Assalamualaikum!
Menjelaskan kepada si kecil tentang sesuatu perkara adakala terasa
begitu mencabar. Bukan mudah untuk membuatkan anak-anak faham dan
adakala ibu bapa mengambil jalan pintas dengan ‘berbohong sunat’.
Persoalannya, wujudkan pembohongan yang ‘baik’ dalam dunia ini? Bolehkah
ibu bapa menggunakan taktik ini dengan alasan untuk mengajar si manja
agar menjadi budak baik?
‘Bohong Sunat’ sering ditafsirkan oleh ibu bapa sebagai satu
pembohongan yang ‘terpaksa’ dilakukan atas alasan memberi kebaikan
kepada si manjanya. Cara mudah ini diambil bagi mencari jalan
penyelesaian untuk mengaburi pemahaman si manjanya tentang sesuatu
perkara. Mungkin perkara tersebut tidak sesuai untuk diketahui oleh si
manjanya kerana masih terlalu kecil.
Misalnya, Lili yang baru berusia empat tahun sering diejek oleh
rakan-rakan sepermainannya dengan panggilan ‘gendut’. Si mama selalu
menghiburkan hati Lili dengan mengatakan bahawa Lili tidak gemuk dan
meyakinkan si manjanya bahawa rakan-rakannya itu salah. Apabila sudah
semakin besar Lili mula sedar dan faham bahawa mamanya telah
membohonginya tentang konsep gemuk dan kurus. Ini menyebabkan Lili
berasa kecewa dengan mamanya.
Walaupun kebanyakan ibu bapa beranggapan tidak salah seandainya
melakukan ‘bohong sunat’ untuk sekali sekala, tetapi dari sisi psikologi
ia boleh menjejaskan perkembangan si manja anda. Tidak wujud istilah
‘bohong sunat’ dalam kamus kehidupan ini. Hakikatnya, penipuan adalah
satu sifat negatif dalam diri individu. Lebih parah lagi jika sifat
tersebut didedahkan kepada si anak kecil. Bukankah kita akan mendidiknya
menjadi insan yang tidak jujur?
Impak ‘Bohong Sunat’ Kepada Si Manja :
• Soal moral baik dan buruk tidak diajar dengan betul kepada si anak. Anda tidak mengatakan perkara sebenarnya kepada si manja.
• Menimbulkan kekeliruan dalam jiwa si manja. Anda tidak memberi contoh yang baik. Ini bakal mempengaruhi kehidupan sosialnya kelak.
• Menimbulkan tanda tanya dan rasa tidak selesa pada anak.
• Si anak akan mencontohi orang tuanya seandainya dia juga berada dalam situasi yang sama kelak. Sudah tentu anda tidak mahu si manja menjadi pembohong cilik, kan?
• Nilai-nilai pertimbangan si manja juga tidak berkembang. Si anak seolah-olah ‘terbiasa’ dengan jalan pintas. Padahal, si anak perlu memiliki kemampuan ‘analytic’ untuk belajar mengapa begini/mengapa begitu?
Jadi, apa yang anda harus lakukan? Pakar perkembangan kanak-kanak
mengatakan bahawa yang terbaik ialah menghindari sikap berbohong.
Selalulah menjawab dengan jujur dan beri si anak penjelasan yang sesuai
dengan kemampuannya menyerap informasi.
Tanda-tanda Si Kecil Berbohong
Semua orang memang tidak dapat lari daripada sifat berbohong. Lazimnya, kita terpaksa berbohong apabila berada dalam keadaan terdesak atau ingin menyelamatkan diri. Sebagai ibu bapa pula, kita tidak mahu anak-anak kita mempunyai sikap gemar berbohong. Ada pepatah mengatakan; “Siakap senohong gelama ikan duri. Bercakap bohong lama-lama mencuri. Jadi, jangan beri peluang kepada si manja anda untuk cuba berbohong walau dalam apa jua keadaan. Bagi mengelak keadaan jadi bertambah parah, si ibu perlu bijak mengesan pembohongan si anaknya. Mungkin tip berikut boleh membantu!
1. Perubahan Raut Wajah
Raut wajah atau ekspresi wajah si anak yang kelihatan seperti tidak tenang boleh memberi isyarat dia menyembunyikan sesuatu daripada anda. Ekspresi wajahnya serta gerak tubuhnya seperti hidung yang kembang kempis atau menggosok-gosokkan alisnya boleh menjadi isyarat yang paling hampir menandakan dia sedang berbohong.
2. Banyak Cakap
Si kecil yang berbohong selalunya akan berada dalam keadaan serba tidak kena. Ketika mereka berbohong, mereka akan cuba bercakap lebih banyak berbanding biasa. Anda boleh melihat jelas perbezaannya itu.
3. Kelainan Nada Suara
Disebabkan dia tahu bahawa berbohong adalah tidak baik, jadi mereka akan berbohong dengan menggunakan nada yang agak rendah. Cara mereka bercakap juga memang berbeza daripada kebiasaannya.
4. Berulang-gulang
Si manja akan mengulang perkara yang diceritakannya secara berulang-ulang kali agar si ibu mempercayainya.
5. Pendiam
Si manja sukar menjelaskan perasaannya kepada anda. Mungkin dia berada dalam dilema sama ada perlu jujur atau sebaliknya. Akhirnya, mereka mengambil keputusan untuk berdiam diri.
Wallahu’alam….
0 Komen Di Sini:
Catat Ulasan