Gambar Hiasan |
Assalamualaikum!
TIDAK dinafikan ramai umat Islam zaman sekarang yang tidak
mengerjakan solat. Ramai di antara mereka pernah dididik tentang
kewajipan solat dan pernah mengerjakannya. Mungkin akibat kelekaan
duniawi, ibadah suci itu telah terperosok, jauh di dalam lubuk hati,
sama ada sedar atau pun tidak.
Kerana solat itu sendiri adalah soal hati dan keikhlasan. Tanpa
keikhlasan, tak mungkin perbuatan solat itu mencapai maksudnya. Namun
begitu, janganlah kita berasa selesa dengan kejahilan. Jangan pula
berasa bangga dengan ilmu dan amalan. Sebaliknya, berazam dan
berusahalah untuk mengerjakannya dengan istiqamah di samping memperbaiki
segala kelemahan yang ada.
Untuk mengingatkan diri saya sendiri dan para pembaca, izinkan kami
berkongsi panduan tentang teknik motivasi memulakan solat setelah lama
meninggalkannya.
1. Sematkan azam, bulatkan tekad
Sebaik sahaja tersedar dari lamunan (sedar rupanya dah lama tinggal solat), cuba fikir sedalam mungkin tentang apa yang anda lakukan, apa yang tak sepatutnya anda lakukan, dan apa yang sepatutnya anda lakukan.
Dari situ, tanam keazaman yang kukuh bahawa anda ingin mengerjakan
solat, dan tidak akan meninggalkannya sampai bila-bila. Kerana itulah
tujuan anda hidup di atas muka bumi ini sebenarnya.
2. Cari masa dan tempat yang sesuai, sunyi, jauh dari dugaan
Kemudian tetapkan masa di mana anda akan mula menjalani kehidupan sebagai seorang yang mengerjakan solat. Lebih cepat lebih baik. Ingatlah, berdosa besar bagi orang yang melengah-lengahkan solat.
Sebaiknya, cari tempat yang sunyi dan jauh dari dugaan. Jauhi
rakan-rakan yang tidak solat atau suka mengejek, sekurang-kurangnya
untuk waktu itu sahaja. Masjid juga adalah tempat yang baik.
3. Solat sekali dahulu, baru ada kali kedua
Walau sekuat mana pun azam, sebulat mana pun tekad, sebaik mana pun masa dan tempat, tanpa solat yang pertama, takkan jadi solat yang kedua dan seterusnya.
Oleh itu, mulakan sahaja tanpa berlengah. Bak kata iklan NIKE – Just do it!
4. Buat nota peringatan dan galakan
Kalau ada masa dan semangat yang berkobar-kobar, tuliskan kata-kata peringatan dan galakan di atas sehelai kertas (besar atau kecil).
Kemudian yang besar tampal di dinding, manakala yang kecil diletakkan dalam wallet atau poket baju.
Tips ini mungkin kurang sesuai jika anda tinggal bersama rakan-rakan
yang tidak mengerjakan solat. Dibimbangi ada yang kata anda nak tunjuk
bagus.
5. Fahami maksud setiap bacaan dalam solat
Jika anda kurang bersetuju dengan point ini, saya nasihatkan supaya cuba dahulu. Anda pasti akan merasai kelainannya.
Bukan faham satu-satu ayat, tetapi satu-satu perkataan. Di situ akan
bermula keindahan solat, di mana anda akan rasa seolah-olah khusyuk itu
mula hadir dalam diri semasa mengerjakan solat.
6. Baca perlahan-lahan mengikut tertib
7. Tingkatkan imaginasi
Sewaktu menghayati maksud, tingkatkan imaginasi anda. Bayangkan keindahan bertemu Allah yang menjemput kita untuk sujud kepada-Nya.
8. Doa mohon kekuatan dan sokongan
Panjatkan doa kepada Allah s.w.t dengan memohon kekuatan dan sokongan untuk berubah menjadi hamba-Nya yang taat. Hendaklah diamalkan sejurus selepas setiap kali solat.
9. Tumpu perhatian pada hari-hari yang dilalui
Tumpukan perhatian anda pada hari yang anda sedang lalui dengan mengerjakan solat. Berilah pujian kepada diri anda dan berikan tahniah kepada diri anda setiap kali anda berjaya mengerjakan solat.
10. Dapatkan adrenaline sewaktu mendengar azan
Adrenaline boleh digunakan sebagai pembantu dengan memberi suatu kejutan semangat yang berkobar-kobar untuk terus pergi menunaikan solat tanpa berlengah-lengah.
Jika anda dapat menanam adrenaline ini sehingga menjadi tabiat, anda
pasti akan meninggalkan segala kerja yang anda lakukan, apabila
terdengar sahaja azan berkumandang. Best tak?
11. Berfikir secara positif
Fikirkan diri anda sebagai seorang yang mengerjakan solat sebaik sahaja anda memulakannya dan sentiasa peringatkan diri anda sedemikian.
Sekiranya ada rakan anda yang mengajak anda ke mana-mana sebelum
sempat anda menunaikan solat, katakanlah saya belum bersolat, tunggu
sebentar atau pergi dahulu.
Ingatlah bahawa anda telah membuat pilihan positif untuk mengerjakan solat.
12. Dapatkan sokongan mental dan rohani
Berikanlah peringatan kepada keluarga, kawan rapat dan rakan sekerja yang anda telah mula mengerjakan solat dan memerlukan kerjasama serta sokongan daripada mereka.
Mintalah rakan-rakan anda yang tidak mengerjakan solat supaya menghormati keputusan anda.
13. Lawan kemalasan dalaman dan godaan syaitan
Dari semasa ke semasa anda akan merasai suatu kemalasan, kebosanan, dan sebagainya, yang mana semua itu sebenarnya hanyalah godaan syaitan dan kemalasan diri sendiri.
Oleh itu lawanlah sehabis-habis mungkin. Ingatlah anda lawan ni pun
tak lama. Lama kelamaan ibadah ini akan sebati juga dalam diri anda, dan
tidak perlu dipaksa lagi.
14. Banyakkan bahan bacaan tentang solat
Kerapkan diri anda membaca kisah-kisah nikmat solat untuk membangkitkan semangat. Baca juga tentang dosa meninggalkan solat untuk membangkitkan rasa takut pada Allah s.w.t. Moga-moga dilimpahi rahmat dan keberkatan oleh-Nya.
Kesimpulan
Jika topik ini dirasakan tidak berkaitan dengan anda, ingatlah: Hari ini mungkin bukan hari anda. Esok lusa tiada siapa yang tahu. Diharap dapat dijadikan panduan kita bersama.
Wallahu’alam….
0 Komen Di Sini:
Catat Ulasan